My Handpainted Gallery

MY BESTSELLER

Sunday, April 26, 2009

..A Journey to Makkah Al Mukarramah & Madinah Al Munawwarah

Assalamualaikum family, friends & viewers...

Bismillahirrahmanirrahim, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, selawat & salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammmad s.a.w.


"Labbaikallah humma labbaik, labbaikala syarikala kalabbaik, innalhamda, wannikmata, laka walmulk, lasyarikalak.."
(HambaMu datang menyahut panggilanMu Ya Allah, HambaMu datang menyahut panggilanMu, HambaMu datang menyahut panggilanMu, Tuhan yang tidak ada sekutu bagiMu, HambaMu datang menyahut panggilanMu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaanMu, tidak ada sekutu bagiMu) - ini merupakan bacaan talbiah yang perlu diperbanyakkan sama ada secara berseorangan atau beramai-ramai dengan suara yang terang dalam masa berihram Umrah dalam perjalanan ke Makkah atau berihram haji dalam perjalanan ke Arafah sebagai tanda ketaatan dan kesyukuran kepada Allah swt. Ianya sebagai mencontohi peristiwa bersejarah rombongan Rasulullah s.a.w dan ratusan ribu umat Islam yang berangkat menunaikan fardu Haji bersama baginda buat pertama kalinya pada tahun ke10 Hijrah dimana laungan talbiah penuh semangat daripada ratusan ribu umat Islam bergema membelah lembah dan bukit bukau di sepanjang jalan menuju ke Makkah.




Alhamdulillah dengan izin dan limpah kurniaNya kami sekeluarga telah selamat menunaikan umrah dan ziarah ke kota Makkah al Mukarramah dan Madinah al Munawwarah pada 6-11 April yang lepas. Mengikut perancangan awal kami sekeluarga sepatutnya menyertai konvoi bersama 7 lagi kereta dari Ras Tanura ke Makkah pada pagi 5 April tetapi disebabkan masalah kesihatan yang tidak mengizinkan kami terpaksa meneruskan perjalanan secara bersendirian dan bermalam di Riyadh terlebih dahulu pada 5 April sebelum memulakan perjalanan ke Makkah bersama satu lagi keluarga pada keesokan harinya(6 April).


6 April - Perjalanan yang bermula pada pukul 10 pagi dari Riyadh berjalan lancar walaupun pada mulanya kami berasa sedikit kurang yakin disebabkan GPS kami mengalami kerosakan sebaik tiba di Riyadh. Alhamdulillah berkat doa dan keyakinan kami selamat sampai di Miqat Al Sayl Al Kabir(iaitu miqat bagi mereka yang datang melalui jalan Riyadh-Thaif, penduduk Najd dan sekitar Teluk) pada kira-kira pukul 6 petang(8 jam perjalanan). Selepas selesai mandi sunat ihram dan solat sunat ihram, masing-masing telah bersiap sedia dengan pakaian ihram(bagi lelaki) untuk menuju ke Masjid Miqat Al Sayl Al Kabir untuk melafazkan niat umrah di situ.(Nota : berniat ihram di miqat merupakan salah satu perkara wajib umrah)

Bersiap dengan pakaian ihram(bagi lelaki) selepas mandi dan solat sunat ihram sebelum mengunjungi Masjid Miqat Al-Sayl Al-Kabir untuk melafazkan niat umrah.


Selepas selesai melafazkan niat umrah kami memulakan perjalanan sejauh kira-kira 80km menuju kota Makkah. Alhamdulillah walaupun dalam suasana malam yang agak gelap tanpa bantuan GPS(hanya mengekori kereta keluarga Kak Jina) akhirnya sampai juga kami ke kota Makkah al Mukarramah lebih kurang pukul 10malam.

Terpegun kami seketika melihat suasana kota Makkah yang begitu sibuk dan meriah dengan pelbagai aktiviti dan golongan manusia pelbagai bangsa walaupun pada waktu jauh malam. Begitulah antara keistimewaan Makkah kerana Allah swt telah memilihnya sebagai (1) tempat dibangunkan Baitullah(Rumah Allah) (2) Kota kelahiran dan kenabian Muhammad s.a.w iaitu penutup para rasul (3) tempat beribadah hambaNya serta adanya kewajipan atas mereka untuk mengunjunginya baik jauh mahupun dekat (4) tidak ada tempat di muka bumi ini Allah mewajibkan bagi orang-orang yang mampu untuk mengunjunginya (5) tidak ada sejengkal bumi pun yang Allah wajibkan hambaNya untuk menghadap dan melambaikan tangan kecuali kepada Ka'bah, Hajarul Aswad dan Rukun Yamani (6) tidak ada satu masjid pun di muka bumi ini di mana solat di dalamnya akan dilipatgandakan seperti sabda Rasulullah s.a.w yg bermaksud - solat di Masjidil Haram lebih utama 100 ribu kali dari solat di tempat lain(keutamaanya sama dengan solat di tempat lain selama 55thn, 6bln, 20 mlm) (7) tempat untuk menghapus dosa-dosa lalu; keistimewaan lain kerana Allah bersumpah dengannya dalam Al Quran dan larangan atas sesiapa saja untuk membawa senjata(tiada pertumpahan darah) termasuk larangan atas orang-orang kafir untuk masuk ke dalamnya. Di samping itu Makkah(dan Madinah) ialah kota yang dijaga dan dibarisi oleh para Malaikat, sehingga Dajjal pun tidak dapat masuk ke dalamnya.


Lokasi berhampiran tempat penginapan kami - kira-kira 500m dari Masjidil Haram


Gambar-gambar menunjukkan proses pembinaan bagi pembesaran sekitar Masjidil Haram bagi menampung jumlah pengunjung yang semakin bertambah

7 April - Alhamdulillah, buat pertama kalinya kami sekeluarga dapat menjejakkan kami ke Masjidil Haram melalui pintu Marwah. Keinginan untuk melihat binaan Ka'bah bagaikan tak tertahan lagi. Sebaik melihat Ka'bah airmata mengalir dengan sendirinya - terharu dan bagaikan tak percaya dapat melihat sendiri Ka'bah yang menjadi kiblat umat Islam di muka bumi Allah ini.."Allahu Akbar, Allahu Akbar!!"(Allah Yang Maha Agung, tidak ada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah Yang Maha Esa, tidak ada sekutu baginNya, Tuhan yang memerintah segala sesuatu, bagiNya segala pujian dan Dialah Tuhan yang berkuasa atas tiap-tiap sesuatu, aku bermohon berlindung dengan Tuhan yang empunya rumah ini(Ka'bah) daripada kekufuran, kemiskinan, azab kubur dan sempit fikiran; rahmat dan sejahtera Allah ke atas Nabi Muhammad s.a.w, keluarga dan sahabat-sahabatnya)..Alhamdulillah.. akhirnya dapat juga kami sampai ke rumah Mu Ya Allah..

Selepas melakukan tawaf iaitu rukun umrah yang kedua(bermula dan berakhir dari sudut Hajarul Aswad sebanyak 7 kali)


(Nota : Rasulullah s.a.w bersabda bahawa Hajarul Aswad dan Maqam Ibrahim merupakan batu dari syurga. Seandainya Allah tidak melenyapkan cahaya keduanya(kerana dosa dan kesalahan manusia) nescaya ia akan menerangi seluruh Timur dan Barat)
Maqam Ibrahim pula merupakan seketul batu yang dijadikan tempat berpijak oleh Nabi Ibrahim a.s ketika baginda membina Ka'bah dengan tangannya sendiri, yang batu-batuannya dibawa oleh anaknya Ismail a.s. Maqam Ibrahim adalah salah satu bukti kekuasaan Allah s.w.t yang kekal dan boleh dilihat hingga hari ini. Ia juga merupakan mukjizat Nabi Ibrahim a.s. kerana batu ini bergerak ke kiri dan ke kanan dan setiap kali bangunan Ka'bah bertambah tinggi, batu tempat Ibrahim a.s berdiri(Maqam Ibrahim) pun ikut naik bagi memudahkan baginda membina Ka'bah. Dan diriwayatkan bahawa batu yang pejal dan keras ini telah menjadi lembut sehingga membentuk tapak kaki Nabi Ibrahim a.s.


Selepas selesai melakukan tawaf, kami melakukan solat sunat tawaf berhampiran Maqam Ibrahim a.s yang merupakan antara tempat-tempat mustajab untuk berdoa.

Bagi menghilangkan dahaga, terdapat banyak tangki air zamzam yang dingin disediakan dalam Masjidil Haram. Antara kelebihan Air zamzam ialah (1) ia berasal dari mata air syurga (2) munculnya melalui perantara Malaikat Jibril a.s(peristiwa ini berlaku ketika Hajar berulangalik antara Bukit Safa dan Marwah untuk mencari air bagi puteranya Ismail a.s (3) air yang digunakan untuk mencuci hati Rasulullah s.a.w sewaktu peristiwa Isra' dan Mi'raj (4) air yang sangat berzat, boleh menambahkan kekuatan tubuh badan peminumnya dan boleh menyembuhkan pelbagai penyakit (5) merupakan bukti nyata kekuasaan Allah s.w.t di tanah suci yang mana airnya tidak akan kering sebanyak mana diambil atau sehebat mana kemarau melanda bumi Mekah.
(Telaga zamzam terletak kira-kira 11m dari Ka'bah. Dahulunya terdapat bangunan di atas telaga ini tetapi dengan perluasan tempat tawaf, ia dipindahkan ke ruang bawah tanah).


Seterusnya kami melakukan Sa'ie iaitu berjalan berulang alik sebanyak 7 kali antara Bukit Safa dan Bukit Marwah yang merupakan rukun umrah yang ketiga. Dalam Al-Quran disebutkan "Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian syiar Allah"(Surah Al-Baqarah/2:158) di mana kedua-dua bukit ini menjadi saksi banyak peristiwa penting dalam sejarah Islam. Alhamdulillah walaupun dalam keadaan cuaca yang agak panas kami dapat melaksanakannya dengan sebaik mungkin.(Keadaan tempat Sa'ie dan sekitar Ka'bah juga kurang sesak sewaktu kami melakukan tawaf dan sa'ie mungkin kerana ramai yang memilih untuk melakukannya pada waktu malam) .

Zafri & Zalin sewaktu Sa'ie(kami menggunakan khidmat wheel chair berbayar kerana kedua-duanya kepenatan dan tertidur..)


Berehat sebentar selepas selesai melakukan Sa'ie


Alhamdulillah sekali lagi, selepas melakukan rukun umrah yang keempat iaitu bergunting sekurang-kurangnya 3 helai rambut atau yang lebih afdal bercukur bagi lelaki, selesai sudah kelima-lima rukun umrah. Ya Allah, terimalah ibadah umrah kami, ampunkanlah segala dosa kami..Amin..(Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud "Di antara satu umrah kepada umrah yang lain adalah penghapus dosa antara keduanya dan tidak ada balasan bagi haji yang mabrur melainkan syurga")



8 April - Selepas selesai melakukan Tawaf Wada' atau Tawaf Selamat Tinggal(sebagai tanda perpisahan dan penghormatan kepada Baitullah - sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w di mana tidak lama selepas itu baginda pun wafat menemui Allah s.w.t) ), masing-masing berkemas untuk memulakan perjalanan menuju Madinah Al Munawwarah. Suasana sedih dan sayu sewaktu ingin meninggalkan kota suci Makkah..Ya Allah semoga ibadah umrah kami diterima olehMu dan semoga kami dijemput lagi menjadi tetamuMu ya Allah..Amin...


Bersiap mengemaskan barang-barang ke dalam kereta sementara menunggu pembahagian air zamzam daripada pihak hotel, sebelum memulakan perjalanan ke Madinah Al-Munawwarah bersama-sama 7 kereta lain(keluarga Bib, K.Jina, K.Ila, K.Izah, K.Yasmin, Jo & Azie)




*************************************

MADINAH AL MUNAWWARAH



Antara panorama menarik sepanjang perjalanan dari Makkah ke Madinah yang mengambil masa kira-kira 5 jam


Seperti juga kota Makkah, Madinah juga tidak sunyi dari pelbagai aktiviti perniagaan sebagaimana Rasulullah s.a.w pernah mendoakan keberkatan dalam kehidupan penduduk Madinah


Madinah al Munawwarah adalah kota suci kedua umat Islam dan merupakan tempat tinggal Rasulullah s.a.w sehingga baginda wafat. Bersesuaian dengan status Tanah Haram(Al Haram) sepertimana yang diisytiharkan oleh Rasulullah s.a.w sendiri, Madinah juga mempunyai beberapa larangannya. Antara kelebihan utama pula ialah terdapat pelbagai kesan Sirah Nabawiyyah dan sejarah para sahabat yang boleh dijadikan sebagai iktibar dan mekanisme peningkatan iman dan taqwa.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud "Barang siapa mampu mati di Madinah, maka lakukanlah. Sesungguhnya aku akan bersaksi bagi orang yang mati di dalamnya"(Sunan ibn Majah)

(Nota : Secara umumnya, Ziarah Madinah ialah melawat tempat-tempat bersejarah di Madinah al Munawwarah dan hukumnya adalah sunat.)


Masjid Nabawi
Masjid ini terletak di tengah-tengah kota Madinah dan mula dibina oleh Rasulullah s.a.w dengan bantuan para sahabat yang terdiri dari golongan Muhajirin dan Ansar pada tahun 622M, iaitu pada hari kedua selepas ketibaan baginda ke kota Madinah. Di sekitar masjid ini juga dahulunya terdapat rumah isteri-isteri dan para sahabat Rasulullah s.a.w. Masjid ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud "Pahala mengerjakan solat dalam masjidku ini (Masjid Nabawi) adalah 1000 kali lebih baik daripada solat di lain-lain masjid kecuali Masjidil Haram"

Pada awal pembinaannya masjid ini berkiblatkan Baitul Maqdis sehinggalah kira-kira 17 bulan Rasulullah s.a.w dan para sahabat menunaikan solat di masjid ini, turun perintah Allah s.w.t agar kiblat umat Islam ketika solat diarahkan ke Baitullah di Makkah. Semasa Rasulullah s.a.w hendak menentukan arah kiblat yang baru ini iaitu pada waktu Asar di Masjid Nabawi, berlaku satu peristiwa mukjizat di mana telah muncul Malaikat Jibrail a.s untuk membantu baginda dalam penentuan arah kiblat yang tepat. Tatkala Malaikat Jibrail a.s menudingkan tangannnya ke arah Baitullah lalu terbelah segala bukit bukau sehingga Rasulullah s.a.w dapat melihat kedudukan Baitullah dengan jelas. Selepas mengenalpasti dan seterusnya menanda arah kiblat yang baru itu, keadaannya kembali kepada seperti sediakala.

Di sini juga terletaknya Maqam Nabi Muhammad s.a.w dan dua sahabat baginda iaitu Abu Bakar al-Siddiq r.a dan Saidina 'Umar al-Khattab r.a. Seseorang yang menziarahi maqam Rasulullah s.a.w hendaklah menghadap ke maqam baginda dengan pandangan mata yang penuh rasa hormat, mengosongkan hati dan fikiran tentang keduniaan, menambatkan hati dengan ketinggian kedudukan Rasulullah s.a.w dan kemudian mengucapkan selawat dan salam kepada baginda. Walaupun terdapat beberapa percubaan musuh-musuh Islam untuk mencuri jasad Rasulullah s.a.w namun semuanya menemui kegagalan kerana Allah sudah berjanji untuk menjaganya(Rasulullah s.a.w) hidup dan mati, sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud "Allah memelihara kamu dari gangguan manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang kafir"(Surah al-Maidah ayat 67)

Raudhah - Raudhah merupakan salah satu tempat yang mulia yang terletak dalam Masjid Nabawi. Ia terletak di antara rumah Rasululah s.a.w di sebelah timur dan mimbar Masjid Nabawi di sebelah barat. Ia dinamakan Raudhah bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud "Di antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman syurga". Raudhah menjadi tempat beribadat yang utama dalam Masjid Nabawi buat Rasulullah s.a.w dan para sahabat disamping tempat turunnya wahyu, majlis ilmu dan sebagainya. Kawasan Raudhah mudah dikenali dengan warna hamparan(carpet) yang berbeza dari kawasan lain manakala tiangnya ditutupi oleh marmar berwarna putih.

Kini setelah selesai beberapa projek pembesaran oleh kerajaan Arab Saudi, Masjid Nabawi mampu menampung dengan selesa hampir 650 000 jemaah solat, malah pada musim haji jumlah jemaah yang mendirikan solat boleh mencecah 1 juta orang.

Umumnya ziarah ke Masjid Nabawi dikatakan sudah sempurna apabila seseorang sudah melakukan 2 rakaat solat tahiyatul masjid, membaca selawat dan salam pada Rasulullah s.a.w, Abu Bakar r.a dan 'Umar r.a, kemudian berdoa bagi dirinya dan kaum muslimin. Tetapi pada kebiasaannya pengunjung tidak akan melepaskan peluang untuk menunaikan setiap solat fardhu di dalam masjid ini di samping solat-solat sunat yang lain.



Bergambar kenangan di perkarangan Masjid Nabawi yang indah yang terletak hanya 5 minit perjalanan dari hotel kami



9 April - Seawal jam 8 pagi kami mengikuti rombongan bas bersama 7 keluarga lain untuk menyertai lawatan ke tempat-tempat bersejarah sekitar Madinah dengan serba sedikit penerangan latar belakang tempat-tempat tersebut oleh seorang rakyat Malaysia yang sedang menuntut di Universiti Madinah iaitu Ustaz Arif.


Perkuburan Baqi'
Ia merupakan kawasan perkuburan bagi penduduk Madinah semenjak zaman Rasulullah s.a.w dan masih digunakan sehingga hari ini. Ia terletak di sebelah kiri Masjid Nabawi dan hanya boleh dimasuki selepas solat Subuh dan Asar atau ketika ada jenazah yang hendak dikebumikan. Kira-kira sepuluh ribu sahabat Rasulullah s.a.w dikebumikan di sini begitu juga para isteri dan kesemua puteri baginda iaitu Ruqayyah, Ummu Kulthum, Zainab dan Fatimah, putera baginda Ibrahim ibn Muhammad dan juga ahli keluarga baginda yang lain dan sebahagian besar para tabi'in termasuk Khalifah ketiga, Usman bin Affan r.a.
Keistimewaan Baqi' ialah disebutkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w berziarah ke Baqi' dan baginda beristighfar untuk para penghuninya. Baginda juga akan memberi syafa'at kepada sesiapa yang meninggal di Madinah dan dimaqamkan di sana.

Tembok tinggi kawasan Perkuburan Baqi' yang boleh dilihat dari tepi jalan(King Abdul Aziz Road) bersebelahan Masjid Nabawi. Jika dilihat dari dekat, tiada sebarang binaan pun dibina di atas perkuburan di situ sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, dari Jabir bahawasanya ia berkata Rasulullah s.a.w melarang untuk memagari maqam atau duduk di atasnya atau mendirikan sebarang bangunan(binaan) di atasnya.



Jabal(Bukit) Uhud
Bukit Uhud merupakan bukit yang terpanjang di Madinah dengan ukuran panjang dari timur ke barat kira-kira 7km. Ia terletak di utara Madinah iaitu lebih kurang 4km dari Masjid Nabawi. Di sinilah berlakunya Peperangan Uhud antara tentera muslimin pimpinan Rasulullah s.a.w yang berjumlah 700 orang dengan tentera musyrikin pimpinan Abu Sufiyan yang berjumlah 3000 orang pada bulan Syawal tahun 3 Hijrah. Peperangan ini merupakan misi membalas dendam kabilah Quraisy di atas kekalahan mereka pada Perang Badar yang berlaku pada bulan Ramadhan tahun sebelumnya iaitu tahun ke 2 Hijrah.
Pada awal pertempuran menyaksikan tentera muslimin mencapai kemenangan hasil strategi Rasulullah s.a.w yang menempatkan 50 orang pemanah di puncak Jabal al-Rumah yang bertanggungjawab melindungi bahagian belakang tentera muslimin. Walau bagaimanapun kemenangan awal ini menyebabkan sebahagian besar tentera pemanah di Jabal al-Rumah turun untuk mengumpulkan harta rampasan perang yang ditingalkan oleh tentera musyrikin. Menyedari situasi ini pasukan berkuda musyrikin mengambil kesempatan mengepung dan menggempur baki tentera muslimin di Jabal al-Rumah yang jumlahnya hanya tinggal 10 orang sahaja hingga menyebabkan kesemuanya gugur syahid.
Pertempuran kedua yang berlaku menyaksikan tentera muslimin diserang dari pelbagai sudut menyebabkan mereka terpaksa berundur ke tempat yang paling tinggi iaitu di Jabal Uhud. Pengunduran penuh strategi ini menyebabkan tentera musyrikin hanya mampu menyerang dari arah selatan sahaja. Keadaan ini amat mengecewakan mereka dan sebagai membalas dendam mereka telah memotong dan merosakkan jasad para syuhada sebelum berundur dan seterusnya pulang ke Makkah.
Jabal Uhud telah menjadi saksi gugurnya 70 orang syuhada, termasuklah bapa saudara Rasulullah s.a.w iaitu Sayyidul Syuhada Hamzah ibn abdul Mutalib, berbanding 22 kematian tentera musyrikin dalam peperangan tersebut.

Umat Islam juga adalah disunatkan menziarahi Maqam Syuhada Uhud yang terletak berhampiran Jabal Uhud untuk memberi salam dan berdoa untuk kesejahteraan para syuhada.
Perasaan sedih dan terharu jelas tergambar pada setiap pengunjung apabila menziarahi perkuburan para Syuhada Uhud kerana mengingati betapa besarnya pengorbanan muslimin terdahulu termasuklah para syuhada dalam mempertahankan syiar Islam. Semoga ziarah ke Jabal Uhud ini dapat melahirkan rasa keinsafan sekaligus meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kami kepada Allah s.w.t.


(Menurut Ustaz Arif, Jabal Uhud merupakan antara objek di dunia ini yang boleh dilihat di syurga kelak(InsyaAllah)..Dan pahala bagi sesiapa yang mengerjakan Solat Jenazah adalah sama dengan pahala satu Bukit Uhud)


Pemandangan indah Jabal Uhud yang berwarna kemerah-merahan


Bergambar berlatarbelakangkan Jabal al-Rumah (terletak berhadapan Jabal Uhud) yang pernah menempatkan tentera pemanah dalam Perang Uhud


Pelbagai aktiviti perniagaan yang dijalankan di kawasan berhampiran Jabal Uhud dan Jabal al-Rumah


Lokasi Masjid Syuhada yang merupakan tempat gugurnya Sayyidul Syuhada Saidina Hamzah ibn Abdul Muttalib r.a sebagai seorang mujahid yang mati syahid demi mempertahankan Agama Islam


Maqam Syuhada Uhud - Papan tanda menerangkan serba sedikit tentang Perang Uhud dan doa yang boleh dibacakan untuk para Syuhada Uhud



Masjid Quba'
Masjid ini merupakan masjid yang pertama dibina oleh Rasulullah s.a.w tatkala baginda selamat tiba di Madinah pada hari Isnin 12 Rabiul Awal tahun 622M. Ia terletak di perkampungan Bani 'Amru ibn 'Auf iaitu kira-kira 3km dari arah selatan kota Madinah.
Masjid Quba' mempunyai keistimewaannya yang tersendiri sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud "Sesiapa yang keluar dari rumahnya sehinggalah sampai di Masjid Quba' dan kemudian bersembahyang di dalamnya, baginya ganjaran pahala seperti menunaikan Umrah".



Masjid Quba' dinamakan sempena sebuah perigi yang berada di tempat ia didirikan - hampir keseluruhan binaan masjid berwarna putih. Ia tidak sunyi dari pengunjung pelbagai peringkat umur dan keturunan


Selepas mengunjungi Masjid Quba' rombongan kami dibawa melawat ke ladang kurma yang terletak kira-kira 10 minit perjalanan dari situ. Ini kerana menurut pemandu bas, pasar kurma yang selalunya menjadi tempat tumpuan pengunjung pada kebiasaannya mengalami kesesakan dan kesukaran untuk mendapatkan tempat meletak kenderaan.

Terdapat pelbagi jenis kurma dan produk-produk kurma seperti coklat dan lain-lain manisan dijual di sini tetapi apa yang pasti para pengunjung tidak akan melepaskan peluang untuk membeli kurma nabi(kurma 'ajwah). Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Barangsiapa di waktu pagi ia makan 7 biji kurma 'ajwah, pada hari itu ia tidak akan terkena racun mahupun sihir"(Sahih Bukhari).(Nota: Kurma 'ajwah biasanya dijual diantara Saudi Riyal 65-75 sekilogram iaitu lebih kurang RM65-75/kg berbanding kurma jenis lain yang lebih murah harganya)


Ladang kurma ini menjadi tumpuan pengunjung dari negara-negara Asia Tenggara khususnya Malaysia dan Indonesia dan rata-rata pekerjanya adalah orang Indonesia


Teh Arab yang menyegarkan juga ada disediakan kepada pengunjung sambil menikmati kurma dan panorama ladang kurma


Kanak-kanak paling teruja ketika di ladang kurma...Air yang jernih mengalir di tengah-tengah ladang kurma..




Masjid Qiblatain
Masjid ini terletak di sebelah barat laut Madinah iaitu berhampiran dengan Universiti Islam Madinah. Ia dinamakan Masjid Qiblatain(Masjid Dua Kiblat) bersempena dengan peristiwa turunnya perintah Allah s.w.t agar Rasulullah s.a.w menjadikan Kaabah sebagai kiblat menggantikan Baitul Maqdis.
Ia berlaku pada tahun 2 Hijrah iaitu ketika Rasulullah s.a.w dan beberapa orang sahabat sedang mengerjakan solat Zohor di masjid ini berkiblatkan Baitul Maqdis dan ketika di rakaat yang kedua, turun firman Allah yang menyeru baginda agar mengubah arah kiblat ke Masjidil Haram.
Lalu baginda berpusing dan mengadap ke arah Baitullah dan baginda terus menyempurnakan solat Zohor tersebut hingga selesai.


Masjid Qiblatain - Masjid Dua Kiblat


Dalam perjalanan pulang ke hotel kami juga ditunjukkan Masjid Tujuh(Al Masajid Al Sab'ah)-maaf, tiada dalam gambar. Ia mengambil sempena 7 buah masjid yang pernah dibina disitu(Jabal Sila') tetapi yang dapat dilihat sekarang hanyalah Masjid al Fath. Di sini merupakan lokasi perkhemahan tentera muslimin semasa Perang Khandak(al ahzab) yang berlaku pada bulan Syawal tahun 5 Hijrah. Dalam perang ini Rasulullah s.a.w telah menerima pakai pandangan Salman al Farisi r.a agar tentera muslimin menggali khandak(parit) di sekeliling Madinah bagi mengekang kemaraan tentera al Ahzab(tentera Quraisy dan sekutu-sekutunya) dari menyerbu masuk ke dalam kota.
Diriwayatkan bahawa ketika tentera muslimin berada dalam keadaan tertekan akibat dikepung oleh bala tentera al Ahzab dan ditambah dengan faktor-faktor lain seperti kesejukan, kelaparan serta pengkhianatan Yahudi Bani Qurayzah, Rasulullah s.a.w telah mengerjakan solat dan berdoa di situ selama 3 hari berturut-turut agar Allah s.w.t memberikan pertolongan kepada tentera muslimin. Dengan izin Allah pada malam ketiga, dalam keadaan suhu yang amat dingin, Allah s.w.t telah menghantar angin kencang yang memusnahkan segala khemah dan peralatan tentera al Ahzab. Keadaan ini memaksa mereka menamatkan kepungan ke atas Madinah dan segera berundur dan pulang dengan penuh kekecewaan.
Walaupun kini sudah tiada lagi sebarang kesan parit tersebut, apa yang penting ialah bagaimana kita menyelami roh jihad dan pahit getir yang dialami oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat dalam mempertahankan Islam. Betapa ilmu dan pengalaman, keteguhan iman, usaha yang bersungguh-sungguh dan tawakkal mampu menjadi senjata yang ampuh dalam mencapai kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat..Insya Allah...

Dengan ini Alhamdulillah selesai sudah ziarah kami di sekitar kota Madinah al Munawwarah. Di antara pengalaman paling menarik ialah ketika membeli cendera hati untuk dibawa pulang di kedai-kedai sekitar Masjid Nabawi - hampir kesemua peniaga boleh berbahasa Indonesia/Malaysia. Perkataan "Malaysia Boleh", "Siti Nurhaliza"(mungkin disebabkan Siti kerap menunaikan umrah dan ziarah) bagaikan sudah sinonim dengan pengunjung Malaysia.


11 April - Kami berkemas untuk memulakan perjalanan pulang. Kami dan keluarga Bib memilih untuk bermalam di Riyadh sementara yang lain memilih untuk pulang terus ke Ras Tanura. Alhamdulillah kami selamat sampai di Riyadh lebih kurang pukul 8 malam dan bermalam di service apartment di Olaya Street dengan kadar sewa yang amat berpatutan.

Bergambar kenangan di hadapan Hotel Al Fayroz sebelum bertolak ke Riyadh



Memulakan perjalanan ke Riyadh melalui Qassim Highway


Pemandangan menarik di Qassim Highway - pagar elektrik terdapat di sepanjang lebuhraya bagi tujuan keselamatan/mengelakkan haiwan ternakan seperti unta, kambing dan biri-biri memasuki lebuhraya


Bagi kawsan yang lebih subur seperti wadi, aktiviti pertanian dijalankan secara meluas



12 April - Kami mengambil kesempatan mengunjungi Kingdom Tower dan tidak melepaskan peluang untuk naik ke 'Sky Bridge'(lebih kurang sama seperti di Twin Tower KLCC cuma keadannya sedikit melengkung).



Antara mercu tanda bandaraya Riyadh - Kingdom Tower(gambar atas) & Al-Fasiliyah Centre(bawah)



Bergambar kenangan di Sky Bridge - iaitu di Tingkat 97 Kingdom Tower


Bandaraya Riyadh dilihat dari Sky Bridge(gambar hanya dibenarkan diambil menggunakan camera handphone)


Bergambar kenangan bersama Zaliah & Baby Ahmed(yang lain belum balik sekolah..) di rumah beliau di Green Cities Compound, Riyadh(terima kasih bagi bekal nasi lemak masa nak pergi Mekah hari tu plus tempeh, rempah kari, briyani etc..)..Take care - mom & baby...semoga selamat semuanya nanti..Zafirah,Zafri & Zalin tak sabar nak tengok baby baru auntie!!


Seorang lagi rakan sekolah (Sekolah Seri Puteri KL)-Sharifah Nurul Qamar yang tinggal di Cordoba Oasis Compound juga di Riyadh...hampir 9 tahun tak jumpa. Thanx for inviting us over for lunch!!


13 April - Selepas mengunjungi Al-Fasiliyah Centre kami memulakan perjalanan pulang ke Ras Tanura. Alhamdulillah kami selamat tiba di RT lebih kurang pukul 6 petang.

Semoga perjalanan dan lawatan kami ke Makkah Al Mukarramah dan Madinah Al Munawwarah ini menjadi titik tolak kepada hijrah diri yang lebih baik seterusnya menjadi mekanisme peningkatan iman, keteguhan taqwa dan kemurnian aqidah. Insya Allah.. Dan semoga pengalaman dan serba sedikit pengetahuan yang dapat dikongsi ini dapat dijadikan panduan untuk kebaikan bersama..

"Oh nyamannya
Bila di pelukan rindu Mu

Mengimbaulah sentosa


Bentangkan ku permaidani

Dari baldu berwarna putih
Moga tak ku terasakan
Cubaan yang ku galas ini

Kepada Mu titianku
Hijrahkanlah diri ini..."


Wassalam....

Sumber rujukan:
1. Sejarah Mekah - Dulu & Kini
2. Sejarah Madinah Munawwarah - Bergambar
3. Sejarah Masjid Nabawi
(ketiga-tiga buku ditulis oleh Dr. Muhammad Ilyas Abdul Ghani, terjemahan Anang Rizka Masyhadi, buku-buku ini boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai buku berhampiran Masjid Nabawi)

4. Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah terbitan Lembaga Tabung Haji









7 comments:

rozie yusof-azlan said...

Masyaállah..Moga umrah mabrur insyaállah...

Zuraidah Ghazali said...

K.Zie..tq...InsyaAllah..next time kalau boleh nak duduk lama sikit kat Makkah..

moon said...

ucu!
hehehe..
ni ieya ni..
ktorg da tgk da gmba ucu g umrah..
besnye..
hihi..
rindu la kt iera,abg n elin..:)

moon said...

ucu,lupe nk pesan..
kem slm kt semua..:)
~~hazirah kem slm kat iera~~
~~kak nina nk smbong master hr~~
~~ieya tgh tggu result pekse~~
:)

moon said...

umi says:
sori,ktorg ade gak bkk ucu pnye blog,tp sgkot2 la..arini bru boleh bkk..umi suke sgt tgk gmba abg pkai ihram..pak long pon x reti pakai lg..huhuhu..:)

ieya blk pineng maybe 4 july..hope boleh jmpe ucu la ye..rindu kt sume!

ok..bye3!!:)

Zuraidah Ghazali said...
This comment has been removed by the author.
Zuraidah Ghazali said...

ieya..org kt sini pon x sbr nk blk Msia..

pg td dh dpt sms Hazira nanti ptg Ira nk call Umi..

Nina..congrats..dah convo le?..teruskan usaha..kalo blh smpai PhD tau...

bai..muahh...

Sharing is Caring...(dipetik dari Segmen Soal Jawab -JAKIM)

Di
Tarikh Hantar Soalan
:
15/03/2007 03:53 PM
Soalan
:
Apakah hukumnya menggunakan pinggan mangkuk yang dibuat dari abu tulang haiwan. Contohnya dalam website dibawah:
http://home.howstuffworks.com/lenox.htm/printable.
Jawapan
:
Hukum menggunakan abu tulang haiwan yang tidak halal dimakan seperti tulang babi dan seumpamanya dan tulang binatang halal(seperti lembu) tetapi tidak disembelih mengikut hukum syarak untuk membuat pinggan mangkuk adalah haram digunakan oleh umat Islam..
Status
:
Selesai - Paparan Web.
.Nombor Rujukan
:
PANEL SJAI 280807
Tarikh Selesai
:
28/08/2007 03:04 PM

(Untuk makluman semua, apa yang saya tahu/faham ialah biasanya pinggan mangkuk yg mempunyai unsur tulang haiwan akan ditulis/dicetak 'Fine Bone China' di bawahnya. Memang tidak dinafikan produk 'Fine Bone China' mempunyai 'finishing' yg cantik dan 'kekuatan' yg lebih berbanding 'fine porcelain' dan 'stoneware' yg lebih murah harganya tetapi jika berasa waswas lebih baik dielakkan daripada membeli & menggunakannya - Wallahua'lam)



Fine China - Dinnerware designated as "Fine China" usually indicates that feldspar, a glassy and hard crystalline mineral made up mainly of aluminum silicates rather than bone ash has been used as the fluxing (fusing or bonding) agent. Fine china does not have the pure white body seen in bone china - it tends to have a grey-white hue. Bone China - The ingredients of bone china are china clay, china stone, silica, alumina, alkalies, lime and bone ash. It is fired at high temperatures of 2300 to 2500 degrees Fahrenheit. In the best grades of English bone china 50% or more of the body consists of refined bone ash prepared from specially selected animal bones which are reduced to a fine powder by heat. The bone is mixed with the finest china clays and highest quality Cornish stone. Specially skilled workers are needed in the manufacture of bone china and the best and most highly skilled in the world are found in the pottery district of England. Porcelain - Today the term porcelain is used loosely to describe shaped clay fired at extremely high temperatures, much higher than used in conventional china manufacture. When shaped thin enough porcelain is translucent, as is bone china. As a matter of fact, the recipe for both porcelain & bone china are closely aligned. The term "bone china" however, indicates that calcined animal bone ash (usually 25% to 50% of the total mixture) has been added to the basic batter of white clay and pulverized stone. Semi-Porcelain - A harder, more durable form of earthenware. The principle ingredient is china clay or feldspathic clay baked at a high temperature. Often the term semi-porcelain and high-grade earthenware are interchangeable.